Berita

Keprihatinan Kerajaan MADANI, tujuh ‘buah tangan’ buat warga Felda

Hubungan erat dan kerjasama baik daripada semua pihak termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menyaksikan pelbagai perubahan dapat dilaksanakan demi kebajikan keluarga peneroka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berkat sokongan para peneroka serta kerjasama erat seluruh warga Felda bersama Kerajaan MADANI menyaksikan perubahan yang semakin nyata. 

Beliau berkata, Felda kini diurus dengan lebih tersusun, berintegriti dan berteraskan iltizam untuk terus membela nasib para peneroka serta generasi pewaris.

“Sempena Sambutan Hari Peneroka dan ulang tahun ke-70 Felda, saya umumkan beberapa insentif baharu sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan pengorbanan para peneroka yang telah sekian lama menjadi tulang belakang pembangunan negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Sempena sambutan di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, Pahang, Perdana Menteri mengumumkan tujuh berita gembira membabitkan peruntukan RM2 bilion untuk warga Felda.

Menurut Perdana Menteri, inisiatif itu merangkumi bantuan kepada Felda, perumahan generasi baharu, manfaat kepada warga peneroka melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF), perumahan petugas Felda, literasi digital, pendidikan dan kesihatan.

Kata beliau lagi, kerajaan mengambil pendekatan menyelesaikan masalah hutang berjumlah RM990 juta yang sekian lama membelenggu Felda.

Selain itu kata beliau, kerajaan turut meluluskan RM150 juta bagi meneruskan pembinaan 554 unit rumah terbengkalai di Johor dan Terengganu untuk manfaat generasi baharu FELDA.

Sementara itu menurutnya, kerajaan turut meluluskan peruntukan tambahan RM20 juta bagi menyiapkan Projek SKF di dua lokasi iaitu Laka Selatan, Kedah membabitkan 86 unit rumah dan Palong 16, Negeri Sembilan sebanyak 100 unit.

Beliau berkata, kedua-dua projek berkenaan kini berada pada tahap kemajuan antara 60 hingga 70 peratus namun berdepan kekangan kekurangan baki peruntukan.

“Bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan generasi baharu Felda terbela, saya meluluskan tambahan RM20 juta untuk menyelesaikan projek ini,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan MADANI akan terus bekerja tanpa jemu demi membawa perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya keluarga besar Felda.

“Selamat menyambut Hari Peneroka dan ulang tahun ke-70 Felda. Mudah-mudahan Felda terus maju, makmur dan menjadi kebanggaan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI