Berita

Kebajikan pelajar SMKA tetap dijaga, kemudahan infrastruktur dipertingkat

Pembinaan dewan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (L) Al-Mashoor, Pulau Pinang kini berada pada fasa akhir dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Dalam sesi pemantauan pembinaan dewan tersebut, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Omar Salleh menegaskan agar semua agensi pelaksana, pasukan perunding dan kontraktor mengekalkan komitmen sepenuhnya bagi memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang lanjutan masa.

Beliau berkata, penekanan turut diberikan terhadap aspek kualiti kerja, keselamatan tapak dan pematuhan spesifikasi sehingga projek diserahkan sepenuhnya.

“Pembinaan dewan ini bukan sekadar menambah sebuah bangunan baharu, malah mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memperkasa kemudahan pendidikan Islam agar seiring dengan keperluan pembelajaran abad ke-21,” kata beliau menerusi laman media sosial Bahagian Pendidikan Islam KPM.

Kata beliau, kejayaan menyiapkan projek tersebut mengikut masa, kos dan kualiti bakal menjadi penanda aras pembangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di seluruh negara. 

Jelasnya, menerusi perancangan teliti, pemantauan berterusan dan kerjasama strategik antara kementerian, agensi pelaksana serta kontraktor mampu menghasilkan pembangunan berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada generasi murid untuk jangka panjang.

Tegasnya, membangunkan prasarana bukan sekadar membina bangunan, tetapi membina persekitaran yang menyokong lahirnya generasi pemimpin masa hadapan. -MalaysiaMADANI