Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan projek naik taraf Kompleks Krematorium DBKL di Jalan Kuari, Cheras bagi mengurangkan tempoh menunggu waris dan meningkatkan kualiti perkhidmatan penghormatan terakhir kepada komuniti bukan Islam.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, projek bernilai RM45 juta itu telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Rancangan Pertama (RP1) Tahun 2026.
Beliau berkata, beroperasi sejak 1977, Kompleks Krematorium DBKL merupakan antara kemudahan krematorium awam terbesar di Malaysia dengan purata 5,844 operasi kremasi setiap tahun.
“Seiring peningkatan permintaan, projek ini akan menambah jumlah mesin kremator daripada tujuh kepada 10 unit, sekali gus meningkatkan kapasiti harian daripada 18 kepada 27 operasi kremasi,” katanya.
Terdahulu Fadlun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menghadiri Sesi Turun Padang Menteri Ke Krematorium DBKL, Cheras.
Mengulas lanjut, Fadlun berkata, projek yang kini berada di peringkat pra-pelaksanaan dijangka siap pada 2029 akan merangkumi naik taraf ruang menunggu dan kemudahan sokongan yang lebih moden, selesa dan mesra pengguna.
Menurut beliau, sepanjang tempoh pembinaan, DBKL akan menyediakan empat unit mesin kremator sementara bagi memastikan operasi kepada masyarakat tidak terjejas.
Jelas beliau, pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBKL meningkatkan standard penyampaian perkhidmatan awam melalui penambahbaikan sistem, tadbir urus dan kecekapan operasi.
“Pendekatan ini selaras dengan pembaharuan organisasi DBKL yang memberi penekanan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan berakauntabiliti,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
