Berita

Kebangkitan umat tuntut pembaharuan ilmu, perilaku serta penghayatan agama -PM

Dalam kesibukan tugas harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih sempat meluangkan masa bagi mengimarahkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-66.

Bagi pihak Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada seluruh hakim dan peserta dari pelbagai negara yang menjayakan majlis tersebut.

Dalam hantaran di media sosialnya, Perdana Menteri membangkitkan persoalan mengenai tanggapan terhadap umat Islam yang mundur berbanding umat lain.

Beliau berkata, isu kemunduran itu dikaitkan dengan kelemahan penguasaan ilmu, kelunturan akhlak serta hilangnya keberanian dan kesungguhan.

“Persoalan ini terus menggugah kita hingga hari ini. Kebangkitan umat menuntut pembaharuan ilmu dan perilaku serta penghayatan agama yang menggerakkan usaha dan tanggungjawab. 

“Justeru, ikhtiar islah mesti melampaui kehadiran di majlis seumpama ini dengan menghayati hikmah al-Quran, seraya berani menguasai ilmu baharu termasuk kecerdasan buatan, berpaksikan akidah yang teguh dan akhlak yang luhur,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Kata beliau, generasi al-Quran yang unik mahu dihasilkan mesti mempunyai hati berpaut kepada Allah, tekun menuntut ilmu dan membawa rahmah dalam dakwah. 

Tegas beliau, generasi tersebut perlu berakar pada khazanah turath Islam serta meneladani kebijaksanaan dan adab para ulama dan ilmuwan.

Tambah beliau lagi, generasi itu juga mesti berupaya menterjemahkan petunjuk al-Quran untuk menjawab persoalan kehidupan dan memajukan umat. -MalaysiaMADANI