SOALAN LAZIM

MALAYSIA MADANI

1. APAKAH KONSEP MALAYSIA MADANI?

Malaysia MADANI dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi tata keloka dan pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak bertunjangkan empat (4) Teras Strategik Utama iaitu:
I. Membina Semula Ekonomi
II. Menjamin Kesejahteraan Insan
III. Reformasi Institusi Demokrasi dan Perundangan
IV. Mewujudkan Pentadbiran Beramanah

2. BILAKAH MALAYSIA MADANI DIILHAMKAN?

Konsep MADANI bukanlah sesuatu yang baru bagi Datuk Seri Anwar, ini kerana pada tahun 1997 beliau telah pun membincangkan perkara ini dalam buku tulisan beliau 'The Asian Renaissance' (kebangkitan Asia). Ketika beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau telah pun menulis buku bertajuk Membangun Negara Madani bagi merealisasi Malaysia MADANI.

3. APAKAH OBJEKTIF MALAYSIA MADANI?

Malaysia MADANI berfokus untuk melahir dan memampan nilai individu masyarakat Malaysia bagi mencapai kesejahteraan dan kemakmuran. Dalam mencapai hasrat tersebut, terdapat tiga (3) keutamaan yang akan diberi tumpuan penuh
Keutamaan 1: Membasmi Kemiskinan;
Keutamaan 2: Penstrukturan semula ekonomi; dan
Keutamaan 3: Memulih dan menjana ekonomi

4. BAGAIMANA MALAYSIA MADANI MEMBANTU GOLONGAN RENTAN?

Bagi membantu golongan rentan Malaysia MADANI memperkenalkan undang-undang khas bagi meletakkan asas kadar upah minimum atau gaji yang bermaruah yang mampu menjamin kelansungan hidup. Kutipan denda daripada pelanggaran undang-undang akan disalurkan untuk tujuan pendidikan, perlindungan sosial, dan kesihatan. Malaysia MADANI juga akan memperkenal skim pencen sosial yang lebih luas merangkumi golongan petani, keluarga, dan pekerjaan yang inovatif seperti ekonomi gig.

Antara usaha Malaysia MADANI adalah untuk melestarikan kehidupan persekitaran dengan memanfaatkan binaan usang menjadi bateri untuk mengumpul dan menyimpan tenaga. Pusat- pusat beli-belah yang tidak lagi dikunjungi juga akan diubah menjadi bandar teknologi yang bakal menyediakan kemudahan untuk syarikat-syarikat pemula, pemecut dan ikubator. Hasil daripada usaha ini bakal membantu golongan rentan untuk mendapatkan akses kemudahan asas dengan lebih baik dan sejahtera.

5. BAGAIMANA MALAYSIA MADANI DAPAT MENGEKALKAN PERPADUAN SELURUH RAKYAT MALAYSIA?

Malaysia MADANI bukan sahaja mampu mengekalkan malah menguatkan lagi perpaduan seluruh rakyat Malaysia untuk kehidupan yang sejahtera. Antara usaha yang telah pun dilaksanakan adalah pengenalan Menu Rahmah yang menawarkan set menu lengkap dengan harga RM5.00 sahaja. Menu Rahmah ini tidak hanya tertumpu kepada golongan atau individu kerana ia boleh dilanggan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum mahupun agama selaras dalam menyediakan nilai dikongsi bersama dan akses yang sama rata dalam mendapatkan hak setiap rakyat Malaysia.

Malaysia MADANI amat menyantuni kebudayaan serta fahaman seluruh rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, kaum etnik, dan juga agama seperti menangani isu islamofobia di peringkat antarabangsa secara rasional dan professional ketika isu pembakaran Al Quran pada awal tahun 2023 di Sweden. Walaupun mengecam sekerasnya tindakan keji berkenaan, namun reaksi YAB Perdana Menteri sangat terpuji dengan mengedarkan sejuta naskhah Al Quran ke seluruh dunia.

6. BAGAIMANA UNTUK KITA SERTAI SETIAP PROGRAM MALAYSIA MADANI?

Ikuti perkembangan program Malaysia MADANI di platform media sosial rasmi Malaysia MADANI untuk info lanjut

Facebook : https://www.facebook.com/Malaysia-MADANI

Twitter: https://twitter.com/MalaysiaMadani

Instagram: https://instagram.com/madani.my

Tiktok: https://www.tiktok.com/@malaysiamadani