Berita

Belanjawan 2027: Semuanya demi meringankan beban rakyat

Pastinya tumpuan orang ramai termasuk kumpulan pelabur luar negara menantikan intipati Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada esok. 

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengadakan taklimat berkaitan Belanjawan MADANI 2027 kepada pihak media.

Beliau berkata, taklimat penting itu bertujuan menjelaskan hala tuju serta ikhtiar Kerajaan MADANI untuk kepentingan seluruh lapisan masyarakat.

“Belanjawan MADANI Kelima berpaksikan tekad yang jelas bahawa ekonomi negara mesti terus diperkukuh dan pertumbuhan mesti diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan ekonomi sahaja belum memadai jika masih ada rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup. 

Justeru itu kata beliau, Belanjawan 2027 akan terus memberi tumpuan kepada usaha meringankan beban, melindungi rakyat, membuka peluang dan memastikan manfaat pembangunan dirasai dengan lebih adil.

“Segala perincian akan saya bentangkan Jumaat ini, Insya-Allah. Semoga segala ikhtiar ini dipermudah dan diberkati Allah SWT,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI