Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Ilmu MADANI yang mengangkat penghayatan Tafsir Surah Yusuf menerusi syarahan ulama tersohor dari Turkiye, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Fadhil al-Jilani al-Hasani.
Menerusi syarahan disampaikan, Perdana Menteri menyatakan beliau mengenang jasa dan bimbingan Muhammad Fadhil yang memberikan kekuatan ketika melalui tempoh sukar suatu ketika dahulu.
“Kisah Nabi Yusuf AS bukan sekadar mengajar tentang kesabaran dan keteguhan iman, tetapi turut membawa iktibar besar dalam soal kepimpinan dan pentadbiran negara, khususnya kebijaksanaan mengurus sumber, merancang bekalan makanan serta membina daya tahan ekonomi ketika berdepan kemarau,” kata beliau menerusi laman media sosialnya..
Beliau berkata, pengajaran daripada kisah tersebut wajar dijadikan pedoman dalam merangka dasar dan melaksanakan Belanjawan MADANI 2027, dengan kecekapan tadbir urus, kesejahteraan rakyat dan kemaslahatan ummah sentiasa menjadi keutamaan.
“Moga kita terus mengambil iktibar daripada kisah para anbiya, memperkukuh amanah dalam kepimpinan dan menjadikan setiap ikhtiar demi kesejahteraan rakyat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab yang dipikul,” ujar beliau.. -MalaysiaMADANI
