Berita

Sedia garis panduan lebih jelas, elak minyak daripada kapal bercampur dalam tangki simpanan

Pemain industri maritim meminta pihak berkuasa terlibat menyediakan garis panduan lebih jelas terhadap amalan pengendalian kargo bagi memastikan ketelusan dalam setiap proses.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata, penyediaan garis panduan lebih jelas itu penting khususnya mengelak risiko pencampuran minyak dalam tangki simpanan di darat, sekali gus menghindar daripada skandal yang pernah berlaku di negara jiran.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk perincian lebih jelas terhadap pengendalian kargo terutama kargo minyak mentah daripada beberapa kapal dicampur dalam tangki simpanan di darat selepas dipindahkan.

“Pencampuran kargo boleh mengubah ciri fizikal minyak berkenaan, sekali gus memerlukan pelarasan pada dokumen sokongan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Tegas Jeyenderan, penyediaan garis panduan yang lengkap juga penting mengambil kira kes membabitkan syarikat gergasi minyak dari negara jiran, sehingga mendedahkan kelemahan serius dalam pengurusan inventori minyak fizikal yang perlu diselaraskan dengan dokumentasi serta rekod kewangan.

Jelasnya, terdapat keperluan untuk pihak berkuasa menyediakan garis panduan lebih terperinci dan jelas mengenai cara kargo dikendalikan, selepas ia dicampur atau diklasifikasikan semula dalam kemudahan penyimpanan.

“Kes yang berlaku itu mendedahkan kelemahan dalam menyelaras stok minyak fizikal dengan rekod di atas kertas merentasi operasi perdagangan, penyimpanan dan kapal.

“Sehubungan itu, perkara ini menekankan risiko lebih luas berkaitan pengesahan inventori, integriti dokumentasi dan kebolehkesanan dalam rantaian bekalan petroleum,” ujarnya.

Pada masa sama, Jeyenderan turut menekankan keperluan kepada standard yang lebih kukuh dalam penyimpanan rekod dan proses audit bagi memastikan kuantiti dan klasifikasi kargo yang diisytihar selaras dengan pergerakan fizikal sebenar.

Menurutnya, ketidakselarasan antara kargo fizikal dan dokumentasi boleh membawa kepada pertikaian penilaian, risiko pematuhan serta mengurangkan keyakinan mengenai pengawasan kawal selia dalam sektor petroleum.

“Jika dokumen tidak dikemas kini mengikut perubahan yang berlaku ia boleh menyebabkan kesilapan dalam pengelasan dan penilaian, akhirnya mengakibatkan kutipan duti dan cukai sama ada terlebih atau terkurang.

“Dalam keadaan identiti asal kargo tidak lagi dapat dipastikan, kebergantungan kepada dokumen awal seperti sijil asal dan sijil kualiti boleh menyebabkan nilai, pengelasan atau cukai dilaporkan secara tidak tepat,” katanya. -MalaysiaMADANI