Langkah mengehadkan pendaftaran serta pemilikan akaun pengguna bawah umur 16 tahun akan dilakukan melalui pelaksanaan penerbitan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan kad Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan melalui kaedah berkenaan akan diterbitkan selepas sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan yang berlangsung dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.
Katanya, CPC dan RMC adalah langkah relevan dalam memperkukuh pendekatan Malaysia terhadap keselamatan dalam talian, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan daripada kandungan memudaratkan.
“Pelaksanaan obligasi utama di bawah ONSA ini juga sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan pengalaman digital yang lebih selamat bagi kanak-kanak dan keluarga.
“Langkah ini membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks,” katanya.
MCMC pada masa sama memaklumkan, kod berkenaan menetapkan garis panduan yang jelas kepada penyedia perkhidmatan digital supaya memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam menangani kandungan merbahaya dan boleh memudaratkan di platform masing-masing.
CPC juga akan memberi penekanan kepada usaha mewujudkan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak menerusi penerapan prinsip ‘safety by design’.
Langkah berkenaan termasuklah perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran serta pemilikan akaun oleh pengguna berusia bawah 16 tahun.
Malah, CPC juga turut menyediakan perlindungan mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko eksploitasi dan kandungan memudaratkan. – Malaysia MADANI
