Agensi pembiayaan dan institusi kewangan digesa terus mempergiatkan usaha dan turun padang mendekati usahawan mikro, serta percepatkan bantuan dan pembiayaan kepada golongan usahawan yang memerlukan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam suasana dunia yang masih berdepan ketidaktentuan serta cabaran krisis bekalan global, Kerajaan MADANI akan memastikan setiap bantuan dan ikhtiar benar-benar sampai kepada rakyat, khususnya golongan peniaga kecil dan usahawan mikro yang paling terkesan.
“Sebab itu saya mengarahkan agensi pembiayaan dan institusi kewangan supaya mempergiat usaha mendekati usahawan mikro, mendengar rintihan mereka.
“Serta mempercepat bantuan dan pembiayaan tanpa syarat yang membebankan,” katanya.
Terdahulu Anwar turun padang ke Pasar Tani Melawati bagi menyantuni penjaja, peniaga kecil dan usahawan mikro, di samping meninjau sendiri sejauh mana usaha serta ikhtiar agensi Kerajaan benar-benar sampai dan dirasai kelompok terlibat.
Beliau pada masa sama, Perdana Menteri turut menegaskan agar pemantauan terhadap stok dan bekalan barangan keperluan asas terus diperkasa.
Katanya hal demian penting supaya rantaian bekalan negara kekal stabil, mencukupi dan tidak dimanipulasi oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup.
“Insya-Allah, dengan usaha tersusun dan ikhtiar yang berterusan, kita akan mengharungi cabaran ini dengan lebih kuat dan yakin demi memastikan ekonomi rakyat terus diperkasa,” katanya
