Berita

Pembenihan awan segera di negeri kritikal termasuk Kedah, Perlis

Kesejahteraan masyarakat menjadi keutamaan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi perancangan dasar serta keutamaan kementerian sepanjang tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi satu pertemuan bersama barisan kepimpinan tertinggi NRES, antara perkara utama yang dibincangkan adalah keperluan mendesak melaksanakan pembenihan awan di negeri-negeri kritikal termasuk Kedah dan Perlis. 

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) diarah menyegerakan pelaksanaan pembenihan awan tersebut, termasuk meneroka penggunaan teknologi dron serta kerjasama dengan pelbagai pihak.

Jelas beliau, tindakan itu penting bagi menampung kekurangan pesawat bersesuaian, sekali gus dapat memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Selain itu, pengurusan NRES turut membangkitkan isu tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini berada di Jepun. 

“Saya mengambil maklum kebimbangan rakyat dan menegaskan bahawa kebajikan haiwan ini mesti menjadi keutamaan NRES dan Zoo Taiping,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Berhubung isu gajah tersebut, beliau menegaskan, sebarang keputusan dan tindakan perlu dilaksanakan berasaskan fakta serta mengambil kira kebajikan terbaik Dara, Amoi dan Kelat. 

Menurut beliau, maklumat yang telus dan berfakta perlu disalurkan secara berterusan agar rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai keadaan gajah-gajah itu di sana.

“Mengakhiri pertemuan ini, saya tegaskan kepentingan tatakelola yang berkualiti, integriti yang utuh dan sifar toleransi terhadap ketirisan. 

“Inilah asas kepada ikhtiar kita dalam membina Malaysia yang inklusif, makmur dan mampan,” ujar beliau lagi. -MalaysiaMADANI