Berita

Kumpulan diplomat diingatkan perkukuh keupayaan diplomasi ekonomi negara

Seramai 13 ketua perwakilan diplomatik Malaysia yang bakal menggalas amanah mewakili negara di pelbagai rantau strategik dunia mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keperluan untuk terus memperkukuh keupayaan diplomasi ekonomi negara, khususnya dalam menarik perdagangan serta pelaburan berkualiti tinggi.

Selain itu, Pedana Menteri turut memberi penekanan agar kumpulan diplomat meneroka peluang kerjasama strategik yang mampu memperkasa pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.

“Saya turut menyentuh bahawa peranan seorang diplomat menuntut lebih daripada sekadar penguasaan protokol dan hubungan rasmi antara negara.

“Hatta memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap sejarah, budaya, sistem politik serta nuansa masyarakat setempat agar setiap bentuk keterlibatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bermakna,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Malah beliau turut memberi penekanan penting terhadap usaha berterusan untuk membimbing dan memperkasa generasi diplomat muda agar memiliki keluasan ilmu, ketajaman pemikiran serta kemampuan mendepani geopolitik dan ekonomi global yang semakin kompleks ketika ini.

“Malaysia akan terus berpegang pada prinsip kesederhanaan, kestabilan, tata kelola yang baik serta pendekatan diplomasi yang berteraskan kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan sejagat dalam membawa suara negara di pentas dunia,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI