Berita

Tekanan kos semasa sektor pembuatan negara, kerajaan beri tumpuan bantu PKS

Kerajaan MADANI terus mengambil berat permasalahan dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan tekanan kos ekoran akibat krisis tenaga global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah mengadakan satu mesyuarat bagi mendengar pembentangan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM). 

Beliau berkata, mesyuarat bersama FMM itu diadakan susulan kesan krisis bekalan global terhadap sektor pembuatan negara.

“Pembentangan ini memberi gambaran yang lebih jelas kepada kerajaan mengenai cabaran semasa yang sedang dihadapi pihak industri,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Jelas beliau, maklumat yang diterima adalah penting supaya langkah dan dasar yang dirangka kerajaan benar-benar mengambil kira realiti di lapangan, khususnya dalam membantu PKS yang paling terkesan dengan tekanan kos semasa.

Ketika ini menurut beliau, kerajaan telah mengambil langkah memperkukuh sokongan melalui SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) berjumlah RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia.

Kata beliau, pelaksanaan tersebut bagi memastikan PKS terus berupaya mengekalkan aliran tunai dan meneruskan operasi perniagaan. 

“Sokongan jaminan pembiayaan melalui SJPP berjumlah RM5 bilion turut disediakan bagi membantu sektor yang terkesan,” ujarnya.

Selain itu beliau berkata, MTEN turut meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang akan dilaksanakan secara seimbang supaya kawalan ketirisan dapat diperkukuhkan tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan rantaian bekalan negara.

Tegas beliau, kerajaan akan terus mengurus krisis yang dihadapi dengan memberi tumpuan kepada jaminan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan, di samping mengekang tekanan kenaikan harga serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

“Libat urus bersama industri dan semua pihak berkepentingan akan terus dipertingkat supaya setiap keputusan dasar dibuat secara menyeluruh dan berpaksikan kepentingan rakyat serta negara,” kata beliau. -MalaysiaMADANI