Berita

KEB 2024 kemuka lapan inisiatif perkasa bumiputera

Lapan inisiatif diumumkan Perdana Menteri, Dartuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 termasuk memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan generasi Baharu Usahawan Bumiputera.

Antara dapatan penting lain dalam kongres itu ialah, kerajaan juga bersetuju untuk memperkenalkan Skim Perumahan MADANI di tanah rizab Melayu dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik.

“Kita juga akan memastikan pemilikan sejumlah 200 ekar tanah Kerajaan, termasuk 50 ekar tanah di Bandar Malaysia kekal dimiliki orang Melayu.

“Selain itu skim ketiga yang diperkenalkan adalah berhasrat melatih 100,000 pelatih TVET dalam tempoh lima tahun termasuk menyediakan tawaran pekerjaan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan menerusi kerjasama syarikat GLIC dan GLC serta syarikat swasta terpilih.” katanya dalam kenyataan.

Anwar juga menegaskan bersedia menmperuntukkan RM100 juta sebagai geran pelancaran bagi menubuhkan Wakaf MARA MADANI.

Manakala bagi skim kelima pula, kerajaan akan menambah baik insentif cukai serta menyediakan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta bagi menggalakkan lebih banyak syarikat swasta melaksanakan program pembangunan vendor.

“Ini semua bagi mendukung pembangunan vendor tempata dan kelompok miskin di kawasan desa dan pedalaman serta kawasan FELDA,” katanya.

Dalam usaha memartabatkan hasil seni para pengusaha tempatan, Anwar turut menggalakkan semua kementerian dan agensi Kerajaan serta syarikat GLC membeli cenderahati hasil seni yang diusahakan oleh pengusaha Bumiputera.

Selain itu kerajaan juga memperuntukkan sehingga RM1 bilion dana bagi mengkhususkan dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera melalui Institusi Kewangan Pembangunan seperti BSN, Agrobank, dan TEKUN Nasional.

“Dana yang disediakan itu bagi menyediakan sokongan kepada pelbagai segmen usahawan Bumiputera,” katanya.

Turut diberi perhatian adalah mewujudkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak pekerja gig.

Beliau pada masa sama berharap semua pihak bersatu padu ke arah mencapai wadah ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’.

Beliau tetap menekankan bahawa dasar afirmatif tetap akan diteruskan bagi memastikan keadilan sosial untuk memastikan tiada golongan yang tertinggal, terutamanya kumpulan rakyat termiskin. – Malaysia MADANI.