Berita

PM hargai sumbangan besar pengamal media

Peranan petugas media melaporkan bahan berita sahih serta tepat kepada masyarakat merupakan tanggungjawab penting terutama mengangkat permasalahan rakyat. 

Tanggungjawab besar tersebut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghargai sumbangan petugas media.

“Hari ini kita memperingati Hari Wartawan Nasional, satu penghargaan kepada para wartawan dan pengamal media yang selama ini menjadi suara rakyat serta antara tiang penting dalam memperkukuh demokrasi negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Beliau berkata, peranan media bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi memikul amanah besar untuk menegakkan kebenaran dengan integriti, kredibiliti, keberanian dan rasa tanggungjawab. 

Kata beliau, dalam era lambakan maklumat dan penyebaran berita tanpa sempadan, pelaporan yang bertanggungjawab amat penting bagi memastikan fakta disampaikan secara tepat, beretika dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Moga para wartawan dan pengamal media terus menjadi suara rakyat, pengimbang kuasa dan nurani negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI