Berita

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 angkat peranan bumiputera Sabah dan Sarawak

Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan beberapa penekanan dalam usaha pembangunan sosioekonomi bumiputera Sabah dan Sarawak akan turut membawa kesejahteraan dan kemakmuran bangsa-bangsa lain, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata, sepanjang Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 itu pelbagai idea baharu serta resolusi yang dikemukakan Datuk Seri Anwar bagi merancang hala tuju dan pelaksanaan agenda ekonomi bumiputera yang lebih mampan.

“Saya telah menghadiri dan mendengar dengan teliti ucaptama penutupan KEB2024 yang telah disempurnakan Perdana Menteri.

“Beliau telah menggariskan beberapa penekanan dalam memenuhi hasrat agenda bumiputera iaitu mementingkan tatakelola yang baik, pembangunan sosioekonomi bumiputera Negeri Sabah dan Sarawak harus diberikan fokus di samping memangkin kesejahteraan dan kemakmuran bangsa-bangsa lain.

“Idea-idea baharu serta resolusi-resolusi yang telah dikemukakan bagi merancang hala tuju dan pelaksanaan agenda ekonomi bumiputera yang lebih mampan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya.

Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berucap mewakili Premier Sarawak.

Rubiah turut berkongsi beberapa pengumuman Perdana Menteri termasuk Tabung Waqaf MARA Madani, Dana RM 1 Billion Generasi Baharu Usahawan Bumiputera.

Turut diumumkan adalah berkaitan Pembangunan Tanah Rizab Melayu, Latihan dan Penawaran Pekerjaan TVET, Pembiayaan Kredit Makro Bumiputera serta Suruhanjaya Pekerja Gig.

Beliau yang terlibat langsung menerusi penyertaan daripada kementeriannya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan KEB2024.

“Di atas kesempatan ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan termasuk Jawatankuasa Induk, pelaksana, KKDW, Kementerian Ekonomi, MARA dan kesemua warga kerja yang terus komited dalam memastikan kelancaran dan kejayaan sepanjang KEB2024 berlangsung.,” katanya. – Malaysia MADANI.