Malaysia dan Pakistan mengadakan perbincangan mengenai perkembangan serantau serta usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin erat sekian lama.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu panggilan telefon dengan rakan sejawat beliau dari Pakistan, Shehbaz Sharif.
“Saya turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada beliau serta rakyat Pakistan, dengan harapan semoga semangat pengorbanan dan persaudaraan terus memperkukuh keamanan dan kesejahteraan ummah,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, perbincangan tersebut menyentuh perkembangan positif rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat, termasuk perbincangan berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz.
Tegas beliau, isu tersebut amat penting kepada kestabilan perdagangan dan keselamatan serantau.
Selain itu kata beliau, Malaysia menyatakan penghargaan atas peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan berterusan serta kesediaannya menjadi tuan rumah bagi rundingan seterusnya antara Iran dan Amerika Syarikat.
Dalam hubungan ini, menurut beliau, Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan damai demi menjamin kestabilan rantau Asia Barat.
Tambah beliau, perbincangan juga tertumpu mengenai kepentingan masyarakat antarabangsa bersuara dan mengambil langkah tegas untuk menghentikan keganasan serta kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza dan Lebanon.
“Insya-Allah, hubungan Malaysia dan Pakistan akan terus diperkukuh berlandaskan semangat persahabatan, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap keamanan serta kemakmuran sejagat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
