Berita

Anwar gesa semua pihak berperanan henti ketegangan di Timur Tengah

SEMUA pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak. 

Iran sebelum ini melancarkan serangan udara ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap pengeboman pejabat kedutaan di Syria. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berpendirian semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat. 

“Semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut.

“Sebarang penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera,” katanya dalam kenyataan. 

Anwar menegaskan, Malaysia kekal dengan pendirian untuk bersama dengan rakyat Palestin yang terus menanggung derita dalam krisis yang berlarutan sejak tahun lalu. 

 Kerajaan pada masa sama sedang memantau rapat perkembangan terkini berhubung ketegangan yang berlaku di Timur Tengah berikutan krisis antara Iran dan negara haram, Israel. 

“Kerajaan hari ini turut memantau kedudukan pasaran kewangan termasuk potensi ke atas Malaysia dan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuhkan kestabilan ekonomi dan kewangan negara,” katanya. 

Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan bersama Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta pegawai tertinggi bagi membincangkan situasi terkini di rantau Timur Tengah. – Malaysia MADANI