Berita

Perkasa Bumiputera melalui penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera: TPM

Perbadanan Tanah Bumiputera perlu ditubuhkan sebagai langkah proaktif dalam usaha pemerkasaan Bumiputera dan mampu menjamin keseimbangan kaum.

Selain sebagai usaha tambahan untuk kekal pemilikan Bumiputera.

Timbalan perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbadanan itu bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah Bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa akan datang.

Katanya penubuhan perbadanan perlu diwujudkan bagi mengekalkan pemilikan tanah bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan.

“Disyorkan semua tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian ataupun plot industri yang melebihi 20 ekar, apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan, 20 peratus daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan semula kepada kerajaan dan ditadbir urus melalui perbadanan ini,” katanya dalam ucapan yang dimuat naik di Facebook rasminya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan cadangan itu diyakini mampu memberi pulangan yang lebih besar terutama bagi mendapat aset tanah negara.

Beliau pada masa sama turut mencadangkan Pelan Waqaf Sihat dan Didik Bumiputera (SIDIK) diwujudkan bagi menjamin perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang berterusan kepada bumiputera.

SIDIK akan menyediakan fasiliti, peralatan dan perkhidmatan kesihatan seperti pusat dan mesin hemodialisis, khidmat penjagaan kesihatan warga emas dan sebagainya serta pembiayaan rawatan bagi penyakit kronik.

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) berlangsung tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kongres berkenaan turut melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus (SLU).

Sebanyak 10 kumpulan yang merangkumi Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pilihan Kerjaya Utama.

Turut terlibat adalah Kumpulan Pengukuhan Industri Halal, Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli; Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah; Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak. – Malaysia MADANI