Berita, Siaran Media

3,208 peluang kerjaya TVET menanti bakal pesara dan veteran ATM

Sebanyak 3,208 peluang pekerjaan telah dikenal pasti kepada bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya dalam sektor pengangkutan.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menyempurnakan Majlis Kerjasama Strategik antara Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Perdana Putra hari ini.

Katanya kerjasama ini merupakan komitmen Kerajaan untuk memperluaskan akses kepada latihan kemahiran, peningkatan kemahiran, latihan semula serta peluang pekerjaan yang lebih tersusun kepada bakal pesara dan veteran ATM, khususnya dalam sektor pengangkutan.

“Peluang pekerjaan  yang telah dikenal pasti merangkumi pelbagai subsektor termasuk logistik, pelabuhan, rel, pengangkutan awam, pengangkutan darat dan rantaian bekalan.

“Saya sentiasa percaya anggota, bakal pesara dan veteran ATM merupakan aset strategik negara. 

“Mereka memiliki disiplin yang tinggi, pengalaman operasi yang luas serta kemahiran yang amat bernilai untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara selepas menamatkan perkhidmatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata peluang berkenaan akan membuka laluan kerjaya kedua yang lebih mampan kepada veteran ATM, sambil membantu memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam industri pengangkutan negara.

“Bagi saya, inilah antara kekuatan sebenar TVET. TVET bukan hanya tentang latihan dan pensijilan, tetapi tentang membuka peluang, meningkatkan kebolehpasaran dan membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat. 

“Sebab itu saya sentiasa menekankan pendekatan yang menghubungkan latihan kepada pekerjaan dan kemahiran kepada peluang kerjaya sebenar,” katanya.

Pada masa sama beliau berharap kerjasama strategik ini menjadi model kerjasama rentas kementerian yang mampu diperluaskan ke sektor-sektor lain pada masa hadapan.

“Apabila Kerajaan, industri dan institusi latihan bergerak seiring, insya-Allah kita akan dapat melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri serta membina ekosistem pembangunan bakat yang lebih mampan dan berdaya saing untuk negara,” ujarnya. – MalaysiaMADANI