Berita

Wanita berperanan penting pacu kemakmuran negara

Malaysia komited mencapai pembangunan inklusif melalui pemerkasaan wanita dalam usaha memacu kemakmuran negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apabila golongan hawa itu diperkasakan, mereka bukan sahaja mengubah kehidupan sendiri tetapi kehidupan orang di sekeliling.

Ia sekaligus meninggalkan kesan yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dan negara.

“Di Malaysia, kita telah melakukan kemajuan penting dalam memberikan hak wanita dan kesaksamaan jantina.

“Kita telah melaksanakan dasar untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, meningkatkan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan selain melindungi wanita daripada keganasan dan diskriminasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Pra Pelancaran Sidang kemuncak Wanita Muslim Dunia 2024.

Majlis berkenaan yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental itu dihadiri wakil-wakil dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sidang Kemuncak Wanita Dunia Islam 2024 akan berlangsung Jun depan dan menyediakan platform serta peluang untuk semua pihak bekerjasama dalam inisiatif yang akan memberi manfaat kepada wanita di seluruh negara.

Atas dasar itu, beliau menggesa semua pihak perlu berganding bahu untuk memberi sokongan dalam mengangkat kedudukan wanita di peringkat antarabangsa.

“Bersama-sama, kita bahu-membahu menaikkan, menyokong, dan memperkasakan wanita di peringkat negara dan global,” katanya. – Malaysia MADANI.