Berita

Transformasi Ekonomi Bumiputera dasar baharu rapat jurang sosio-ekonomi

Transformasi Ekonomi Bumiputera atau TEB perlu diperkenalkan sebagai satu dasar untuk mendorong agenda ekonomi bumiputera ke hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar baharu yang progresif itu bertujuan merapatkan jurang sosio-ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Jika KEB (Kongres Ekonomi Bumiputera) pertama dan kedua melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), suka saya mengetengahkan cadangan bagi KEB kali ini untuk kkita melaksanakan Transformasi Ekonomi Bumiputera atau TEB sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.

“Ia juga bertujuan memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam menyertai peluang ekonomi dan teknologi baharu, di samping turut serta membesarkan kek ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika menyampaikan ucaptama majlis perasmian Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, dalam menjayakan agenda berkenaan tiga matlamat utama perlu diberikan tumpuan bagi memastikan dasar dan pelaksanaan tersebut dicapai iaitu melibatkan Keadilan Sosio-Ekonomi, Kemampanan Negara Bangsa serta Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat bagi memastikan dasar dan pelaksanaan.

Semua ini bagi memastikan bumiputera tidak ketinggalan dalam menyertai peluang ekonomi dan teknologi baharu.

Beliau pada masa sama memberi jaminan melalui TEB kerajaan akan terus memastikan peranan agensi-agensi Kerajaan Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Tabung Haji akan lebih terkehadapan dalam pengupayaan Bumiputera bagi semua sektor ekonomi. – Malaysia MADANI