Berita, Siaran Media

JPK- NOCN perkenal pensijilan dwi antarabangsa untuk pelajar TVET

Agenda pengantarabangsaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara terus diperkukuh apabila Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian  Sumber Manusia menjalin kerjasama strategik dengan Vistouso Sdn. Bhd. (NOCN) dari United Kingdom, yang bakal memperkenalkan pensijilan dwi bertaraf antarabangsa kepada pelajar tempatan.

Ketua Pengarah JPK, Dr. Kamaruzaman Md. Ali berkata, kerjasama strategik itu menjadi titik tolak usaha memartabatkan ekosistem TVET negara dengan menyelaraskan standard serta meningkatkan jaminan kualiti sekali gus diyakini menaikkan reputasi kelayakan kemahiran negara ke peringkat global.

 “Model yang diperkenalkan menerusi program rintis “Satu Kursus, Dua Persijilan”, membolehkan pelajar mendapat persijilan kebangsaan Malaysia dan persijilan United Kingdom melalui satu perjalanan yang bertujuan mempermudah pelajar mencapai kelayakan yang diiktiraf antarabangsa tanpa perlu melalui proses pensijilan berasingan. 

Dengan itu, graduan TVET Malaysia dijangka lebih kompetitif dan mudah bergerak ke pasaran kerja global,” katanya.

Terdahulu  ketika majlis pelancaran kerjasama strategik JPK-NOCN di Putrajaya, beliau menjelaskan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu jelas beliau bukan sahaja membuka peluang pekerjaan yang lebih luas, malah membantu mempercepatkan integrasi tenaga kerja dalam ekonomi global.

“Mereka yang memiliki kelayakan yang diiktiraf akan mempunyai peluang lebih luas untuk bekerja di luar negara. Saya sendiri pernah bekerja di Denmark ketika berusia 19 tahun dan pengalaman itu banyak memperkayakan pengetahuan serta kemahiran saya,” ujarnya.

Menjelaskan secara lanjut, beliau berkata, tumpuan awal program rintis merangkumi empat bidang utama iaitu pemasangan elektrik satu fasa dan penyelenggaraan; pemasangan elektrik tiga fasa dan penyelenggaraan; pemasangan elektrik voltan rendah dan penyelenggaraan; serta servis kenderaan elektrik dan hibrid. 

Pemilihan bidang ini katanya mengambil kira permintaan industri semasa, terutama dalam penyelenggaraan tenaga elektrik dan perkembangan pesat sektor automotif elektrik.

“Sebanyak 30 Pusat Bertauliah (PB) di seluruh negara akan terlibat dalam fasa rintis, memberikan peluang kepada 1,000 pelatih untuk menerima persijilan dual dan penglibatan pusat-pusat latihan terpilih ini bertujuan mencipta impak segera dan menyediakan data bukti yang akan digunakan untuk penambahbaikan sebelum skala diperluas,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan NOCN atau National Open College Network, sebuah badan penganugerahan bagi kelayakan vokasional yang diiktiraf antarabangsa, Graham Hasting-Evans berkata, kerjasama yang dibangunkan bertujuan meningkatkan pengiktirafan global terhadap kelayakan TVET Malaysia, memperluaskan peluang pekerjaan graduan di pasaran antarabangsa.

“Matlamat kami adalah menambah nilai kepada kelayakan yang telah dibangunkan supaya setanding dengan piawaian antarabangsa.

“Pengiktirafan antarabangsa terhadap sesuatu kelayakan menjadi faktor penting dalam meningkatkan keyakinan majikan dan kebolehpasaran graduan,” katanya. – MalaysiaMADANI