Berita

Sedia peluang pekerjaan, AT&S turut bantu tingkat pencapaian industri strategik negara

Malaysia menghargai sumbangan syarikat luar negara membantu perkembangan ekonomi dan meningkatkan pencapaian industri strategik tempatan yang semakin berkembang pesat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft (AT&S) untuk bertapak di Malaysia adalah satu keputusan yang memberi kelebihan kepada negara.

Beliau berkata, AT&S merupakan antara peneraju global dalam pengeluaran substrat Integrated Circuit (IC) bernilai tinggi dan papan litar bercetak, selain membangunkan teknologi perhubungan canggih yang menyokong pelbagai industri strategik.

“Ini termasuk menghasilkan peranti mudah alih, automotif, aeroangkasa, perubatan, perindustrian serta pengkomputeran berprestasi tinggi bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI),” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Terdahulu Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Dr Michael Mertin bersama delegasi syarikat tersebut.

Dalam pertemuan tersebut, beliau berkata, perbincangan berkisar kepada perkembangan semasa operasi AT&S Malaysia di Kulim, Kedah yang kini menggaji sekitar 2,700 tenaga kerja. 

Menurut beliau, Malaysia merupakan antara hab pengeluaran utama syarikat tersebut selain Austria, China dan India, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur global terhadap keupayaan serta daya saing negara.

Tegas beliau, kerajaan akan terus memberikan dukungan yang jelas dan konsisten kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global.

Malah kata beliau lagi, kerjasama baik yang terjalin antara kerajaan dan syarikat luar negara berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.

“Keyakinan yang ditunjukkan oleh pelabur antarabangsa seperti AT&S merupakan cerminan kestabilan politik negara, pengurusan ekonomi yang berhemah serta kejelasan dasar Kerajaan MADANI,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI