Berita

Insentif Kerjaya Madani 2023 tingkat peluang penempatan pekerjaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) melancarkan Insentif Kerjaya Madani 2023 sebagai langkah memperkukuh 10 inisiatif perlindungan keselamatan sosial dan pemerkasaan pasaran buruh tempatan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata penyediaan insentif melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membabitkan peruntukan RM313 juta itu adalah kesinambungan kepada inisiatif di bawah Belanjawan 2023 yang menumpukan usaha meningkatkan peluang serta penempatan pekerjaan kepada pelbagai kumpulan sasar.

Beliau berkata, Insentif Kerjaya Madani bakal menumpukan kepada tiga elemen iaitu Program Daya Kerjaya, selain Daya Kerjaya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta Program Bina Kerjaya.

Mengulas Program Daya Kerjaya, katanya, majikan yang menggajikan pekerja baharu dalam kalangan belia atau individu lama menganggur bermula 1 Januari, boleh memohon insentif di bawah program itu yang mula dibuka 1 April lalu.

“Insentif sama turut diberikan sekiranya majikan menggajikan golongan rentan seperti Orang Asli, wanita, orang kurang upaya (OKU), miskin tegar, individu diparol, bekas banduan dan graduan TVET serta lepasan sekolah yang menganggur melebihi 30 hari.

“Melalui Program Daya Kerjaya kita menyasarkan 58,000 pengambilan pekerja oleh majikan yang menerima insentif RM600 sebulan bagi tempoh tiga bulan untuk setiap pekerja digajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud pada Majlis Iftar PERKESO di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Bagi Program Daya Kerjaya TVET atau Program Transisi Pekerjaan pula, Sivakumar melalui teks ucapan sama berkata, pihaknya menyasarkan 17,000 permohonan dalam kalangan perintis TVET serta lepasan sekolah yang menganggur sekurang-kurangnya 30 hari untuk menjalani Program Peningkatan Kemahiran dengan pembiayaan bayaran latihan RM4,000.

Program Bina Kerjaya pula, katanya, bertujuan meningkatkan potensi individu bekerja sendiri dalam sektor tidak formal untuk memperoleh pekerjaan formal.

Beliau berkata, ia melalui pengajian Latihan Penilaian Pengiktiran Pembelajaran melalui Pengalaman (RPEL), kursus jangka pendek atau pensijilan profesional atau kompetensi yang diiktiraf institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan iktisas.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/04/1089657/insentif-kerjaya-madani-2023-tingkat-peluang-penempatan-pekerjaan

Mustapha (dua dari kiri) bersama Subhan Kamal (kiri) menyampaikan Faedah Hilang Upaya Kekal kepada Muhammad Imran Anuar pada majlis iftar PERKESO di Kuala Lumpur, sambil disaksiskan Mohammed Azman (kanan). – NSTP/ASYRAF HAMZAH