Berita

ASEAN berperanan bentuk semula landskap geopolitik, geoekonomi dunia

Malaysia menggunakan peluang terbaik di pentas antarabangsa untuk menyentuh isu dan cabaran besar ASEAN membentuk semula landskap geopolitik dan geoekonomi dunia.

Perkara itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei Future of Asia di Tokyo bertajuk Navigating Strategic Uncertainty.

Beliau berkata, ketika mana konflik berlarutan, persaingan kuasa besar semakin meruncing, rantaian bekalan global semakin rapuh dan ketidaktentuan ekonomi semakin melebar.

Sehubungan itu kata beliau, dunia tidak boleh terus terperangkap dalam kerangka lama yang melihat hubungan antarabangsa semata-mata melalui lensa persaingan kuasa serta kepentingan sempit.

“Asia membangun hasil daripada keterbukaan, perdagangan, pelaburan dan kerjasama. 

“Benar, tatanan dan institusi antarabangsa sedia ada telah membantu mengangkat jutaan manusia keluar daripada kemiskinan. 

“Namun cabaran kita hari ini bukan meninggalkannya, tetapi mereformasi dan memperkukuhnya agar kekal relevan dengan tuntutan zaman yang kian berubah,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Jelas beliau lagi, Malaysia percaya negara-negara kuasa pertengahan mempunyai tanggungjawab penting dalam usaha ini. 

Walaupun tidak memiliki pengaruh yang sama seperti kuasa-kuasa besar, kata beliau, negara kuasa pertengahan berupaya memainkan peranan sebagai jambatan persefahaman, membina kesepakatan dan menggalakkan kerjasama ketika dunia semakin cenderung kepada perpecahan.

“Saya turut menyentuh soal kecerdasan buatan yang menjanjikan pelbagai manfaat besar kepada manusia. 

“Namun kemajuan teknologi tidak boleh dibiarkan hanya memperkayakan segelintir pihak atau melebarkan kesenjangan. 

“Negara-negara membangun mesti mempunyai suara yang bermakna dalam menentukan tatakelola teknologi yang bakal mempengaruhi kehidupan berbilion manusia,” ujar beliau.

Dalam dunia yang semakin berpecah, tambah beliau, ASEAN kekal relevan sebagai wadah yang mengutamakan keterangkuman, dialog dan kerjasama. 

Tegas beliau, semangat yang sama turut menjadi asas hubungan erat Malaysia dan Jepun dalam memperkukuh kerjasama dalam bidang semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital dan kecerdasan buatan.

Jelas beliau, semua itu demi membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan serta kemakmuran yang dapat dikongsi bersama. -MalaysiaMADANI