Berita

KPDN sasar agih 130,000 Bakul Rahmah menjelang Julai ini – Salahuddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan sehingga 130,000 bakul Rahmah diagihkan kepada golongan miskin tegar menjelang Julai tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengagihkan kira-kira 40,000 bakul Rahmah dalam Fasa Pertama.

“Setakat ini, kita telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 80,000 Bakul Rahmah dan kita telah agihkan hampir 40,000 bakul pada fasa 1.

“Ini akan dapat kita sempurnakan sebelum fajar Aidilfitri bagi memastikan golongan miskin tegar ini akan dapat disantuni.

“Ini adalah ikhtiar KPDN bersama rakan-rakan strategik termasuk 99 Speedmart yang memberikan sumbangan secara konsisten,” katanya pada sidang media di Menara SSM di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan flag-off lori 99 Speedmart yang akan mengagihkan kira-kira 20,000 Bakul Rahmah kepada golongan miskin tegar di seluruh negara.

Dalam pada itu, 99 Speedmart yang menyumbangkan 20,000 Bakul Rahmah itu bernilai RM1 juta berupa keperluan asas yang akan diagihkan kepada golongan sasar di seluruh negara secara berperingkat.

“KPDN amat berbesar hati menerima sumbangan berbentuk makanan harian daripada semua pihak untuk diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah dengan lebih berkesan, konsisten dan bersasar,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 12,000 Bakul Rahmah pula telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara sepanjang Ramadan.

“Sehingga kini, inisiatif Bakul Rahmah telah berjaya memanfaatkan seramai lebih dari 34,000 Ketua Isi Rumah  miskin tegar tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

“Kerjasama ini telah dijalankan secara Tanggungjawab Sosial Korporat bersama Rakan Strategik Kementerian yang sentiasa menyokong inisiatif Kementerian dari semasa ke semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette