Kerajaan sentiasa komited meraikan kepelbagaian serta memastikan tiada sesiapa tercicir daripada menikmati hak pendidikan tinggi yang berkualiti dan saksama.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, komitmen itu termasuk membuka akses yang lebih luas kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menyambung pengajian dalam bidang yang bersesuaian dengan minat, keupayaan dan potensi mereka.
Untuk itu kata beliau, pihaknya menguruskan hal ehwal pelajar OKU di institusi pendidikan tinggi sempena majlis penutup Program Kepimpinan Strategik untuk Inklusiviti OKU di Institusi Pendidikan Tinggi Awam anjuran AKEPT.
“Saya amat menghargai komitmen semua pihak dalam menjayakan agenda ini. Inklusiviti bukan sekadar dasar di atas kertas, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi impak nyata kepada mahasiswa OKU,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, institut pengajian tinggi (IPT) perlu terus memperkukuh aksesibiliti, kemudahan mesra OKU dan peluang pembelajaran yang lebih inklusif agar setiap anak bangsa berpeluang mencapai potensi terbaik mereka.
Jelas beliau, pendekatan yang dibawa oleh Perdana Menteri melalui pengumuman yuran pengajian percuma kepada pelajar OKU sepanjang pengajian di IPT merupakan bukti jelas bahawa agenda keterangkuman ini diberi perhatian serius oleh kerajaan.
“Pendidikan tinggi yang cemerlang ialah pendidikan tinggi yang membuka ruang kepada semua,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
