Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Kewangan (MOF) terus memperkasakan komitmen bersama dalam membanteras penyelewengan dan ketirisan demi memelihara kedaulatan ekonomi negara.
Komitmen tersebut dizahirkan melalui kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ke atas Ketua Perbendaharaan Negara (KSP), Tan Sri Johan Mahmood Merican di kementerian itu.
Pertemuan strategik yang berlangsung selama hampir sejam itu menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak memperkukuh jalinan kerjasama khususnya dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi.
Abd Halim berkata, SPRM dan MOF turut membincangkan mengenai pasukan petugas khas (Task Force) atau jawatankuasa khas (Special Committee) yang ditubuhkan bagi mengendalikan hal-hal berkaitan mengikut keperluan semasa.
“Dalam usaha memastikan siasatan dan pemulihan aset berjalan dengan lebih tuntas, tumpuan perbincangan terarah kepada pasukan petugas khas serta jawatankuasa khas yang ditubuhkan secara khusus untuk mengendalikan kes tersebut.
“SPRM juga menyatakan kesediaan memberikan kerjasama penuh serta bantuan menyeluruh daripada segi perundangan, penguatkuasaan dan aspek teknikal bagi menyelesaikan kes-kes berkaitan ke akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sesi kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan penyerahan cenderahati sebagai simbolik keutuhan jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi. -MalaysiaMADANI
