Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia meneroka peluang kerjasama strategik dalam memperkukuh pembangunan pendidikan tinggi Islam di peringkat antarabangsa, termasuk berkongsi pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam pengurusan institusi pendidikan tinggi Islam.
Perkara itu dizahirkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ketika menerima kunjungan Sheikh Shady Alsuleiman, Presiden Australian National Imams Council dan United Muslims of Australia bagi membincangkan usaha memperkasakan pendidikan tinggi Islam di negara itu.
Dalam pertemuan tersebut, Sheikh Shady berkongsi visi untuk menubuhkan universiti Islam pertama di Australia dengan menjadikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai model rujukan berikutan kejayaannya sebagai antara institusi pendidikan Islam yang terkemuka di rantau ini.
“Beliau turut menyatakan hasrat untuk mendapatkan pandangan, pengalaman dan kepakaran daripada KPT serta Malaysia bagi membantu merealisasikan aspirasi penubuhan universiti berkenaan,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.
Dalam kunjungan berkenaan, Dr. Zambry berkata, pihak turut membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, pembangunan akademik, penyelidikan serta pertukaran kepakaran yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Katanya, pihaknya akan terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dan sentiasa terbuka dalam meneroka inisiatif yang menyokong pembangunan pendidikan tinggi Islam.
“InsyaAllah, KPT sentiasa terbuka untuk meneroka ruang kerjasama dalam memperkukuh pendidikan tinggi Islam yang moden, inklusif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya. – MalaysiaMADANI
