Berita

Program Sekolah Angkat MADANI sedia persekitaran pembelajaran lebih kondusif

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus berusaha memastikan persekitaran pembelajaran kondusif kepada pelajar dengan memperkasakan Program Sekolah Angkat MADANI. 

Meninjau pelaksanaan program itu di peringkat lapangan, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh meluangkan masa hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng di Johor. 

KPM berkata, Program Sekolah Angkat MADANI mencerminkan komitmen berterusan kerajaan, komuniti dan sektor swasta dalam memperkukuh akses kepada pendidikan berkualiti melalui penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, inklusif dan berdaya saing.

“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 (RPM 2026–2035) yang menggalakkan kerjasama strategik pelbagai pihak.

“Ini bagi memastikan setiap murid mendapat peluang pendidikan terbaik demi melahirkan generasi MADANI yang berilmu, berkemahiran dan berdaya tahan,” kata KPM menerusi laman media sosialnya.

Menurutnya, Program Sekolah Angkat MADANI 2026 di SMK Yong Peng dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan. 

Pada majlis tersebut, pihak sekolah turut menerima sumbangan daripada rakan strategik Kementerian Pengangkutan, Berjaya Corporation.

Program yang berlangsung itu turut menghimpunkan guru, ahli Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan pelajar khususnya pelajar Tingkatan Enam.

Kesempatan yang ada itu membuka peluang kepada Timbalan Menteri mendengar aspirasi serta pandangan warga sekolah ke arah memperkukuh ekosistem pendidikan negara. -MalaysiaMADANI