Berita

LRT3 Laluan Shah Alam bakal jana perkembangan lebih positif kepada masyarakat

Bukan sahaja akan memudahkan lagi urusan harian rakyat, pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam, Selangor akan membuka pelbagai peluang dan impak positif kepada pembangunan kawasan sekitar jajaran baharu tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan laluan itu menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Kerajaan MADANI memperkukuh sistem pengangkutan awam negara yang lebih moden, cekap dan bersepadu demi kesejahteraan rakyat.

Kata beliau, projek tersebut bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan, malah membawa limpahan manfaat yang besar kepada jutaan penduduk di sepanjang jajaran. 

Beliau berkata, dengan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan boleh dipercayai, rakyat dapat menjimatkan masa serta kos perjalanan harian, di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

“Pada masa yang sama, LRT3 ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang akan merangsang pelaburan baharu dan memperluas peluang perniagaan.

“Selain itu, ia juga mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing kawasan-kawasan yang dihubungkan oleh laluan ini,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau, jaringan pengangkutan yang lebih baik juga membuka akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan dan pelbagai perkhidmatan penting.

Jelas beliau, perkembangan positif itu sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan saksama.

“Justeru sewaktu merasmikan LRT3 Laluan Shah Alam, saya tekankan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melaksanakan pembangunan yang berteraskan keperluan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta memastikan kemajuan yang dikecapi memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, hari ini dan untuk generasi akan datang,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI