Penyelidikan pencegahan rasuah melalui ‘Pemerkasaan Pelaporan Kewangan dan Amalan Audit: Kajian terhadap Rangka Kerja Kawal Selia Pelbagai Agensi di Malaysia’ yang dilaksanakan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kini pada peringkat akhir pelaksanaan.
Kajian yang dijalankan itu di bawah Geran Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, kajian itu meneliti landskap semasa pelaporan kewangan dan amalan audit di Malaysia dengan mengenal pasti kelemahan dalam kerangka kawal selia yang berpotensi membuka ruang kepada manipulasi kewangan serta perlakuan rasuah.
Selain itu kata beliau, penyelidikan turut menilai amalan terbaik antarabangsa serta mencadangkan satu rangka kerja yang bersepadu bagi memperkukuh koordinasi antara agensi kawal selia.
“Bagi kajian ini, Pengarah SPRM Selangor dilantik sebagai pakar rujuk dan penyelia, manakala beberapa pegawai SPRM sebagai ahli pasukan penyelidik bagi menyumbang kepakaran serta memastikan hasil kajian lebih praktikal, relevan dan selari dengan keperluan semasa.
“Geran Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah ini diselaraskan oleh Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM bagi memperkukuh tadbir urus, integriti dan pencegahan rasuah di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi membentangkan dapatan kajian yang dipengerusikan oleh Timbalan Akauntan Negara (Operasi), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Mohd Azraai Md Aznan.
Mohd Azwan berkata, sesi pembentangan awal yang bertujuan untuk mendapatkan pandangan pemegang taruh telah menerima maklum balas yang amat positif daripada pihak JANM, khususnya terhadap cadangan dikemukakan bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan sistem pelaporan kewangan negara.
Beliau berkata, hasil penyelidikan itu dijangka menjadi rujukan strategik kepada pembuat dasar dan agensi berkaitan dalam memperkukuh tadbir urus kewangan, memperkasa integriti institusi serta menyokong pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuah yang lebih menyeluruh demi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan negara. -MalaysiaMADANI
