Tiga dekad kerjasama Malaysia dan Turkmenistan dalam sektor tenaga terus diperkukuh menerusi pemeteraian kerjasama strategik baharu antara PETRONAS dan pihak berkuasa Turkmenistan yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedo.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), hubungan ini bukan sahaja memperkukuh persahabatan antara Malaysia dan Turkmenistan, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan bakat serta pemindahan ilmu dan teknologi yang memberi manfaat bersama.
“Kerjasama ini turut membuka ruang kepada penglibatan yang lebih strategik dalam pembangunan sumber tenaga masa hadapan, termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan yang merupakan antara pemilik rizab gas terbesar dunia,” katanya.
Perkembangan itu juga merupakan manifestasi keyakinan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia dalam sektor tenaga dan industri strategik.
Ini sekali gus membuktikan kepakaran, bakat dan teknologi yang dibangunkan negara mampu bersaing serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan keterjaminan tenaga pada peringkat global.
“Kerajaan MADANI menyambut baik perkembangan ini yang bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Turkmenistan, malah membuka peluang kerjasama ekonomi dan pelaburan yang lebih luas pada masa hadapan,” jelasnya.
Pada 2025, Turkmenistan ialah rakan dagang keempat terbesar Malaysia daripada kalangan negara Asia Tengah.
Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turkmenistan berjumlah RM75.80 juta, dengan eksport Malaysia bernilai RM75.50 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 9.0 peratus peratus daripada angka pada tahun sebelumnya.
Turkmenistan juga merupakan destinasi pelaburan utama PETRONAS, dengan jumlah pelaburan PETRONAS di negara itu telah mencecah RM52.73 bilion sejak 1996 sehingga kini. – MalaysiaMADANI
