Malaysia menegaskan bahawa kerjasama ASEAN membanteras jenayah rentas sempadan perlu menghasilkan tindakan yang pantas, terselaras dan berkesan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendirian itu diketengahkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-20 di Manila, Filipina demi memperkukuh keselamatan rakyat dan kestabilan serantau.
“Kerjasama serantau mesti menghasilkan manfaat sebenar kepada keselamatan rakyat, bukan sekadar komitmen di atas kertas,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Beliau berkata, empat fokus utama Malaysia merangkumi usaha membanteras jenayah siber dan penipuan dalam talian, memerangi pengubahan wang haram, memperkasa kawalan sempadan serta membanteras penyeludupan manusia dan menangani keganasan serta ekstremisme ganas.
Menurut beliau, Malaysia turut menekankan tiga keutamaan ASEAN iaitu mempercepat respons rentas sempadan, memperkukuh siasatan termasuk pengendalian bukti digital dan pemulihan aset serta meningkatkan kerjasama operasi bersama negara anggota dan rakan antarabangsa.
“KDN komited memastikan kerjasama ini diterjemahkan kepada hasil nyata melalui penumpasan rangkaian jenayah, perlindungan mangsa dan tindakan membawa penjenayah ke muka pengadilan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
