Hasil diplomasi MADANI dan hubungan erat Malaysia-Turkmenistan membawa manfaat besar apabila Petroliam Nasional Bhd (Petronas) diberi kepercayaan untuk terlibat dalam pembangunan antara medan gas terbesar dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan tersebut mencerminkan keyakinan tinggi dunia terhadap keupayaan Malaysia dalam sektor gas dan minyak.
Beliau berkata, jalinan kerjasama Malaysia-Turkmenistan itu membuka ruang kepada jaminan bekalan tenaga jangka panjang, sekali gus memberi manfaat besar kepada negara dan rakyat.
“Kejayaan ini mencerminkan keberkesanan diplomasi tenaga Malaysia dalam membuka peluang kerjasama strategik baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain tenaga utama yang dihormati dan dipercayai di peringkat global,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, lawatan ke Turkmenistan membuktikan eratnya persahabatan kedua-dua negara, di samping membuka peluang kerjasama strategik yang lebih luas.
Paling utama kata beliau, kejayaan diplomasi tenaga negara diterjemahkan melalui pengukuhan peranan Petronas serta pemeteraian beberapa perjanjian penting yang bakal memperluas penglibatan Malaysia dalam sektor minyak dan gas Turkmenistan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Presiden Serdar Berdimuhamedov atas komitmen memperkukuh hubungan kedua-dua negara,” kata beliau.
Menurut beliau lagi, kejayaan memperluas peranan Petronas dalam sektor tenaga Turkmenistan membuka akses kepada antara rizab gas terbesar dunia, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap tenaga global.
Jelas beliau, perkembangan itu mencerminkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan Malaysia serta rekod cemerlang Petronas yang telah bertapak dan beroperasi di Turkmenistan selama tiga dekad.
Sementara itu kata Perdana Menteri, lawatan ke Turkmenistan turut menyaksikan pemeteraian pelbagai dokumen kerjasama dalam bidang pendidikan, latihan diplomatik, penerbangan, sains dan pembangunan modal insan.
“Saya yakin kesepakatan yang dicapai akan mengangkat hubungan Malaysia-Turkmenistan ke tahap yang lebih kukuh demi kemakmuran rakyat dan kepentingan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
