Berita

Visi Malaysia bina rantaian bekalan kesihatan serantau teguh dan berdikari

Malaysia menegaskan kepentingan visi negara membina rantaian bekalan kesihatan serantau yang lebih berdaya tahan dan berdikari supaya tidak terdedah kepada risiko kebergantungan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sistem kesihatan negara tidak boleh terus terdedah kepada risiko kebergantungan import dan gangguan rantaian bekalan akibat ketidaktentuan geopolitik serta pasaran.

Sebagai mitigasi, beliau berkata, Malaysia telah memacu pelbagai langkah proaktif termasuk pelaksanaan perolehan berpusat, pengurusan inventori masa nyata dan penimbalan stok ubat-ubatan kritikal di peringkat domestik. 

“Di pentas serantau pula, kita terus menerajui inisiatif Keterjaminan dan Kemandirian Ubat-Ubatan ASEAN (ADSSR),” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Namun begitu kata beliau, komitmen serantau tersebut mesti segera diterjemahkan kepada tindakan konkrit yang boleh diukur. 

Menurut beliau, Malaysia sentiasa bersedia menyumbang kepakaran dan bekerjasama erat dengan negara-negara anggota untuk merintis perolehan berpusat skala kecil, mempertingkat ketelusan harga ubat-ubatan serta memperkukuh kapasiti pembuatan strategik merentasi Pasifik Barat. -MalaysiaMADANI