Berita

Kerajaan tambah baik Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara membincangkan secara terperinci situasi semasa jerebu yang masih membimbangkan serta kesannya terhadap kesihatan rakyat khususnya kumpulan pelajar.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat membincangkan cadangan tambah baik Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, khususnya berkaitan arahan penutupan sekolah serta persediaan awal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bagi memastikan pembelajaran dapat diteruskan sekiranya sekolah terpaksa ditutup selama beberapa hari.

Tegas beliau, tahap kesihatan anak-anak adalah menjadi keutamaan Kerajaan MADANI, dengan langkah yang teratur bagi memastikan pelajaran mereka tidak terjejas. 

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia akan memperhalusi cadangan ini bersama KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Selain itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan akan dipenuhi untuk mengurangkan jerebu. 

Jelas beliau, operasi pembenihan sedang dijalankan hampir setiap hari dan proses itu bergantung pada keadaan awan yang sesuai.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, mesyuarat dimaklumkan mengenai persediaan negara menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat dan risiko banjir serta ancaman Super El Nino yang diramal membawa cuaca panas dan kering melampau tahun depan.

Sehubungan itu kata beliau, kesiapsiagaan agensi barisan hadapan mesti terus dipertingkat dan NADMA perlu diperkasa sebagai nadi penyelarasan dasar dan operasi merentas agensi, khususnya melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat.

Jelas beliau, tindakan itu penting sebagai langkah pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sektor swasta, sukarelawan serta masyarakat mesti bergerak bersama memperkukuh kesiapsiagaan komuniti. 

“Nyawa rakyat mesti dilindungi dan bantuan mesti sampai segera kepada mereka yang memerlukan. Inilah amanah yang mesti kita galas bersama,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI