MALAYSIA bakal bekerjasama dengan Poland untuk mengeksport buah-buahan tropika Malaysia ke republik tersebut.
Perkara berkenaan dinyatakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph ketika menerima kunjungan rasmi Timbalan Menteri Pertanian dan Kemajuan Luar bandar Poland, Michal Kolodziejczrak.
Dalam pertemuan berkenaan, Arthur juga menekankan keperluan bagi menggalakkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Kita juga memohon kerjasama negara itu mengenai peluang mengeksport buah-buahan tropika Malaysia seperti nanas, belimbing dan nangka ke Poland.
“Turut dibincangkan adalah untuk meningkatkan kerjasama dalam perdagangan produk pertanian antara kedua-dua negara terutama bagi produk tenusu dan daging ayam,” katanya.
Terdahulu beliau menerima kunjungan Kolodziejczrak dan delegasi di pejabatnya di Menara Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur.
Kolodziejczak dan delegasi daripada republik Poland berada di negara ini dalam siri lawatan kerja bagi mengiringi Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski yang dalam rangka lawatan kerja rasmi pertama ke negara ini.
Dalam pertemuan berkenaan Arthur turut menjemput Kolodziejczak ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 selain mempelawa penyertai pihak Republik Poland dlam acara dwi tahunan berkenaan. – MalaysiaMADANI