Berita

Bantuan khas pemandu pengangkutan awam, ikhtiar Kerajaan MADANI ringan beban sara hidup

Kerajaan MADANI sentiasa peka dan memberi perhatian kepada kebajikan golongan memerlukan terutama dalam meringankan beban kos sara hidup.

Menyedari keperluan kumpulan pemandu pengangkutan awam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan bersama warga pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.

Pertemuan itu diadakan sempena majlis peluncuran pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000.

Perdana Menteri berkata, sumbangan itu sebagai ikhtiar Kerajaan MADANI meringankan beban kumpulan tersebut yang sekian lama berdepan pelbagai tantangan, termasuk persaingan industri dan tekanan kos sara hidup.

“Pertemuan ini turut mengimbau kenangan sewaktu saya melalui detik-detik paling getir dalam perjuangan reformasi pada tahun 1998. 

“Ketika ramai memilih untuk menjauh, sebahagian pemandu teksi tampil membantu tanpa mengharapkan sebarang balasan. 

“Jasa dan ketulusan mereka kekal terpahat dalam ingatan saya hingga ke hari ini,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tegas Perdana Menteri, setiap hasil yang dijana negara harus akhirnya kembali memberi manfaat kepada rakyat. 

Tatkala kedudukan kewangan negara semakin mengukuh, beliau berkata, menjadi kewajiban Kerajaan MADANI untuk memastikan limpahan kemakmuran turut dirasai kelompok pekerja yang selama ini menyumbang kepada kekuatan ekonomi negara.

“Justeru, prinsip inilah yang akan terus mendasari perjuangan Kerajaan MADANI, yakni menghargai setiap sumbangan, membela yang memerlukan dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus pembangunan negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI