Berita

Sumud Protocol jadi antara langkah selaras usaha pembebasan Palestin

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bersama keluarga besar Sumud Nusantara sempena Global Sumud Flotilla Congress 2026 yang menghimpunkan solidariti masyarakat antarabangsa memperjuang kebebasan Palestin serta membela hak serta maruah rakyatnya termasuk di Gaza.

Perdana Menteri berkata, penderitaan rakyat Palestin bukan soal agama atau bangsa, tetapi soal kemanusiaan dan hak setiap insan untuk hidup bebas, bermaruah serta menentukan nasib sendiri.

Justeru itu tegas beliau, isu membabitkan perbuatan melampau seperti penjajahan, penindasan dan kekejaman terhadap orang awam tidak boleh dibiarkan berterusan.

“Pelancaran Sumud Protocol menjadi satu langkah untuk menyelaraskan usaha pembebasan Palestin melalui lima jalur gerakan, meliputi perfileman, tindakan ahli parlimen, gerakan masyarakat sivil dan belia, flotila ke Gaza serta Kongres Global,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, Resolusi Asas Gerakan Global Sumud yang dimeterai pula perlu diterjemahkan kepada tindakan bersama yang tersusun dan berterusan. 

Jelas beliau, solidariti tidak harus terhenti pada kata-kata, sebaliknya perlu disusuli usaha nyata untuk memastikan hak rakyat Palestin terus diperjuangkan.

“Insya-Allah, dengan kesungguhan dan kerjasama masyarakat antarabangsa, kita akan terus mengusahakan keadilan, hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta masa depan yang lebih aman dan bermaruah bagi rakyat Gaza,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI