Berita

KKM lancar MADANI Afiat & Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Pulau Pinang

Kuala Lumpur, 17 November 2023 – Dengan sukacitanya, Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan bahawa Jelajah MADANI Afiat akan dijalankan pada 19 November 2023 peringkat Negeri Pulau Pinang. Acara ini diadakan sebagai inisiatif untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan mempromosikan kesihatan masyarakat Malaysia.

Jelajah MADANI Afiat, yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, akan melibatkan pelbagai aktiviti antaranya adalah pelbagai jenis saringan kesihatan termasuk tibi, pameran alam sekitar, jualan Rahmah, senam sehat dan pelbagai lagi.

MADANI Afiat bertujuan untuk menyemai kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental, serta memberikan panduan praktikal tentang cara memulakan atau mempertingkatkan gaya hidup yang sihat. Para pengunjung akan berpeluang untuk berinteraksi dengan pakar kesihatan tempatan, mendapatkan maklumat terkini tentang pemakanan yang seimbang, dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dan bermanfaat.

Tarikh 19 November 2023 telah dipilih sebagai tarikh pelaksanaan Jelajah MADANI Afiat dengan harapan agar lebih ramai dapat menyertai acara ini dan mengambil langkah ke arah hidup yang lebih sihat. Acara ini juga sejajar dengan usaha Kementerian Kesihatan untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Kami mengalu-alukan semua warga Negeri Pulau Pinang untuk menyertai Jelajah MADANI Afiat dan bersama-sama kita bangunkan kesedaran akan kepentingan menjaga kesihatan untuk kesejahteraan bersama. Untuk maklumat lanjut mengenai jadual dan lokasi acara, sila lawati laman web rasmi Malaysia MADANI atau ikuti perkembangan terkini di media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia dan Malaysia MADANI.

Mari kita bersama-sama berkomitmen untuk hidup lebih sihat dan menyebarkan semangat MADANI Afiat di seluruh Malaysia