Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penganjuran Dialog Negara Khas: ‘Di Sebalik Keputusan…’ memberi ruang memperjelas tindakan dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.
Perdana Menteri berkata, kesempatan tersebut digunakan sebaiknya untuk menjawab pelbagai persoalan dikemukakan oleh moderator dan barisan panelis yang mewakili pelbagai segmen masyarakat.
“Wadah ini memberi ruang untuk saya memperjelas dasar, pertimbangan dan keputusan Kerajaan MADANI dalam mengemudi negara, di samping menyelami keresahan, harapan dan aspirasi rakyat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap agar wacana seumpama itu dapat diperbanyakkan, bukan sekadar untuk memberi pencerahan serta merungkai kekeliruan malah mencetuskan percambahan idea serta menyuburkan budaya dialog yang matang dan terbuka.
“Sesungguhnya, kematangan demokrasi sesebuah negara turut diukur pada kesediaan pemimpinnya untuk mendengar, menjawab dan menerima teguran rakyat dengan penuh keinsafan dan rasa tanggungjawab,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
