Di bawah Kerajaan MADANI, peruntukan hal ehwal Islam melonjak daripada RM1.5 bilion pada 2023 kepada RM2.6 bilion (2026) dan RM3.1 bilion bagi Belanjawan 2027 bagi memacu pembangunan ummah secara menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, lonjakan peruntukan itu memperkukuh kebajikan lebih 70,000 petugas agama melalui elaun serta caruman PERKESO.
Di samping itu kata beliau, ia digunakan bagi menyantuni rakyat menerusi bantuan bakul makanan, Mobile Kitchen, perubatan, baik pulih kediaman, khidmat guaman syarie percuma serta pemerkasaan usahawan mikro.
“Dari sudut pemodenan pendidikan dan sosioekonomi, peruntukan RM200 juta disalurkan bagi menaik taraf sekolah agama dan pondok termasuk pendedahan teknologi AI serta robotik, selari dengan kejayaan cemerlang peperiksaan STAM (GPS 1.44),” kata beliau menerusi laman media sosialnya..
Zulkifli berkata, pengurusan kewangan Islam dan ibadah haji turut mencipta pencapaian membanggakan apabila Tabung Haji berjaya mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 selama tiga tahun berturut-turut dengan agihan keuntungan tertinggi dalam lapan tahun (3.5%), selain mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama ekosistem halal dan kewangan Islam global.
Di peringkat pentadbiran dan antarabangsa, kata beliau, JPM (Hal Ehwal Agama) terus memartabatkan institusi kehakiman syariah melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) serta menghidupkan tradisi pengajian kitab turath dan hadis bersanad melalui Majlis Ilmu MADANI dan Majlis Sama’ Hadith.
“Inisiatif berimpak tinggi ini bukan sahaja memacu transformasi tadbir urus Islam yang inklusif dan progresif di tanah air, malah mengangkat Malaysia sebagai hab pertemuan ulama tersohor serta kiblat keilmuan Islam di persada dunia,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
