Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026–2030 menjadi landasan strategik dan hala tuju memperkukuh keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara.
Perdana Menteri berkata, DKN 2026–2030 turut berperanan memastikan keselamatan rakyat dan kestabilan negara terus terpelihara sepanjang lima tahun akan datang.
Kata beliau, landskap keselamatan yang semakin kompleks termasuk ancaman siber, perkembangan teknologi baharu serta perubahan geopolitik, menuntut kesiapsiagaan dan keupayaan negara yang sentiasa dipertingkat.
“Pendekatan keselamatan juga perlu mengambil kira ancaman tradisional dan bukan tradisional, dengan keupayaan menjangka risiko serta menangani cabaran yang muncul,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, keselamatan negara bukan hanya terletak pada tanggungjawab pasukan keselamatan, tetapi turut memerlukan kesedaran dan kerjasama seluruh rakyat.
Jelas beliau, masyarakat awam dinasihatkan agar terus berwaspada, bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih.
“Kedaulatan dan keamanan negara adalah kepentingan bersama yang perlu dipelihara.
“Dengan kesiapsiagaan, kesatuan dan tanggungjawab semua pihak, kita dapat memastikan Malaysia terus aman, berdaulat dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa hadapan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
