Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa syukur setelah menerima khabar gembira dari Kanada apabila PETRONAS bersama rakan usaha samanya berjaya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia.
Beliau berkata, keputusan itu membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion.
Menurut beliau, pembesaran itu bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, sekali gus memperkukuh bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa.
“Tahniah kepada seluruh warga PETRONAS atas kejayaan ini. Keupayaan syarikat negara menjayakan projek tenaga berskala besar bersama rakan antarabangsa.
“Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia,” ujar beliau menerusi laman media sosialnya.
Ekoran kejayaan itu, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada rakan sejawatnya, Mark Carney atas sokongan dan kepercayaan kepada PETRONAS.
“Saya mengalu-alukan pertemuan bersama Perdana Menteri, Carney dan delegasi Kanada pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta memperluas kerjasama Malaysia-Kanada,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
