Kerajaan MADANI mengambil langkah proaktif menangani isu pelarian Myanmar di negara ini dengan menghantar pulang kumpulan warganegara itu ke negara asal secara sukarela.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu pelarian Myanmar bukan permasalahan baharu, sebaliknya legasi puluhan tahun yang telah memberikan tekanan kepada negara dari sudut keselamatan, sosial dan pengurusan.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI mengambil langkah bagi menangani persoalan tersebut secara lebih tersusun.
“Langkah diambil itu termasuk melalui penguatkuasaan, penyelarasan antara agensi serta kerjasama dengan negara asal,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, hasil rundingan dengan Myanmar, sebanyak 5,000 pelarian dipersetujui untuk dihantar pulang secara sukarela dan berperingkat.
Pada Selasa, seramai 1,476 pelarian memulakan fasa pertama penghantaran balik ke Myanmar, setelah melalui proses yang dipersetujui kedua-dua negara.
“Insya-Allah saya akan memastikan isu ini ditangani secara tuntas, dengan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia diberi keutamaan, serta pelaksanaannya berlandaskan undang-undang dan nilai kemanusiaan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
