Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyelaras pelaksanaan Program Penghantaran Pulang Tahanan Warganegara Myanmar.
KDN berkata, pelaksanaan itu juga dilakukan bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap proses dilaksanakan secara teratur dan terkawal.
“Bagi setiap fasa, tindakan meliputi proses pengesahan dan pemadanan individu, penyediaan dokumentasi, aspek keselamatan serta penyelarasan logistik sebelum penghantaran dilaksanakan,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.
Menurutnya, pendekatan secara berperingkat membolehkan setiap komponen operasi disemak dan diselaraskan terlebih dahulu.
Jelasnya, ia bagi memastikan pelaksanaan dibuat berdasarkan prosedur serta kesiapsiagaan agensi yang terlibat.
Tegasnya, KDN dan JIM akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi memastikan pelaksanaan program seterusnya berlangsung secara teratur, selamat dan bertanggungjawab.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa setiap fasa perlu dilaksanakan secara tersusun, dengan pengesahan individu, dokumentasi, keselamatan dan logistik diselaraskan sebelum proses penghantaran dilaksanakan. -MalaysiaMADANI
