Berita

MAHA 2026 catat jualan RM66.88 juta, MoU kerjasama bernilai RM10.35 bilion

Nilai jualan keseluruhan berjumlah RM66.88 juta dan kerjasama bernilai RM10.35 bilion menerusi 97 memorandum persefahaman (MoU) berjaya dicapai sehingga hari kesembilan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penganjuran selama 10 hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang itu turut merekodkan kehadiran 4.3 juta pengunjung termasuk 1.72 juta belia.

Beliau berkata, MAHA 2026 merekodkan sebanyak 854,311 buah kenderaan sehingga jam 10 malam pada Sabtu.

“Mengangkat tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’, MAHA 2026 terus menjadi platform utama yang menghimpunkan ekosistem agro dan agromakanan negara, selain mengetengahkan perkembangan teknologi, inovasi dan peluang perniagaan dalam sektor tersebut,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena majlis  perasmian penutupan MAHA 2026 di MAEPS Serdang, Selangor pada Ahad.

Majlis perasmian penutupan MAHA 2026 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, MAHA 2026 berjaya mencatat penyertaan lebih 2,000 pempamer serta delegasi antarabangsa dari 14 negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan MAHA sebagai platform utama sektor agro dan agromakanan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Kata beliau, antara tarikan utama MAHA 2026 adalah Laman Padi, Laman Nanas, Laman Sayur, Laman Herba, Laman Jagung dan Bawang, Laman Florikultur, Laman Perikanan, Laman Smart Farming, Laman Veterinar, Pavilion Negeri, Agrosafari, Perkampungan Bang Mat, Rhythm of the Farmers (ROTF) serta Kiddies Wonderland.

Menurutnya, penganjuran kali ini turut memberi penekanan kepada teknologi dan inovasi agro termasuk pertanian pintar, automasi, dron, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) serta teknologi makanan.

“Semua yang disediakan ini membuka ruang kepada golongan belia meneroka peluang kerjaya dan keusahawanan dalam sektor agromakanan,” ujar beliau.

Menurut beliau, penyertaan 14 negara dalam MAHA 2026 berjaya memperkukuh peluang pertukaran teknologi, pelaburan, pembangunan kapasiti dan peluasan pasaran eksport produk agromakanan Malaysia.

“Kejayaan MAHA 2026 membuktikan sektor agro dan agromakanan negara mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai sektor moden, berdaya saing dan berteraskan teknologi,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI