Malaysia mengambil berat situasi semasa di Asia Barat susulan tercetus semula peperangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, selain amaran keras Presiden AS Donald Trump yang menyatakan kesediaan melancarkan lebih banyak serangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keprihatinan tinggi berhubung dengan peningkatan semula ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran.
Beliau berkata, menerusi serangan balas terbaharu daripada kedua-dua negara terbabit telah melangkaui pihak-pihak terlibat secara langsung dan merebak ke negara-negara lain di rantau ini.
“Situasi ini boleh mengancam untuk mengheret Timur Tengah secara keseluruhannya ke dalam konflik yang lebih dahsyat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya..
Untuk itu kata beliau, pihak yang mempunyai keupayaan terbesar untuk mempengaruhi perkembangan situasi tersebut perlu memikul tanggungjawab khusus untuk mengekang dan mencegah ketegangan yang berlaku secara berhemah.
Tegas Perdana Menteri, kedaulatan negara-negara lain di Asia Barat tidak boleh diketepikan.
Jelas beliau, tiada matlamat ketenteraan yang boleh menghalalkan tindakan mendedahkan orang awam kepada konflik yang semakin meluas.
Tambah beliau, langkah-langkah tindakan ekonomi yang membebankan orang awam dan menghalang usaha diplomatik berisiko akan memburukkan lagi krisis tersebut, bukan menyelesaikannya.
“Saya menggesa Amerika Syarikat dan Iran untuk menghentikan sebarang peningkatan ketegangan selanjutnya dan segera kembali kepada diplomasi serta persefahaman yang telah dicapai pada bulan Jun.
“Konflik ini pada akhirnya hanya dapat diselesaikan melalui pendekatan politik dan diplomatik. Dunia tidak seharusnya dipaksa menanggung akibat daripada tercetusnya perang serantau yang lebih meluas,” jelas beliau.-MalaysiaMADANI
